Sunday 29 April 2012

Refleksi Pengajaran Dan Pembelajaran


REFLEKSI PEMBELAJARAN UNTUK MAKRO PENGAJARAN

REFLEKSI
     Refleksi ini dibuat berdasarksan pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan pada tarikh 26 April 2012 bersamaan hari Khamis.  Murid-murid yang terlibat adalah dari kelas tahun 2 Fokus seramai 35 orang. Murid-murid Tahun 2 Fokus adalah kelas yang  boleh dikatakan dalam kategori sederhana. Berlatarbelakang dari kawasan penempatan semula penduduk dari kawasan setinggan, murid-murid di sekolah ini kebanyakkannya adalah dari kalangan keluarga yang sederhana dari segi ekonomi dan pendidikan.  Oleh sebab itulah kebanyakkan murid-murid di sekolah ini dalam tahap sederhana dari segi penguasaan pembelajaran mereka.
      Bidang pembelajaran yang saya sampaikan dalam pengajaran dan pembelajaran saya adalah Nombor dan Operasi. Yang mana ianya termasuk dalam tajuk Operasi tolak dalam lingkungan 1000 yang melibatkan standard pembelajaran menolak sebarang dua nombor hingga tiga digit tanpa mengumpul semula.
     Semasa menjalankan set induksi, saya dapati murid-murid seronok dan memberi penumpuan serta aktif dengan memberi respon di mana mereka bersama-sama mengira bola yang ditunjukkan dalam sesi ini.  Bola yang berwarna-warni saya gunakan adalah untuk menarik perhatian murid di samping dapat digunakan untuk mengaitkan dengan operasi tolak yang akan saya sampaikan dalam pengajaran saya. 
     Saya telah menggunakan pendekatan atau kaedah penerangan bagi aktiviti perkembangan isi pelajaran langkah pertama yang mana penggunaan contoh-contoh dengan penerangan adalah asas dalam pengajaran dan pembelajaran terutama pelajaran matematik yang melibatkan operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Ini adalah kerana ianya akan dapat melahirkan pemikiran yang jelas dan lebih berkesan.  Idea yang abstrak, konsep-konsep yang baru dan susah, lebih mudah difahami apabila menggunakan contoh-contoh yang mudah kepada yang lebih konkrit.  Misalnya dalam bentuk lisan iaitu dengan mengemukakan analogi, bercerita, bentuk metafora dan sebagainya. Contoh-contoh juga boleh ditunjukkan dalam bentuk visual, lakaran, ilustrasi dan lain-lain.
     Sebenarnya pelbagai masalah telah saya lalui dalam usaha untuk menjalankan proses rakaman pengajaran dan pembelajaran ini, yang mana pada mulanya saya telah merancang untuk menggunakan peralatan ICT di dalam bilik makmal computer dalam bentuk microsoft power point semasa penyampaian pengajaran saya.  Malangnya pada hari tersebut, makmal computer digunakan untuk aktiviti sekolah dan peralatan ICT yang terdapat di dalam kelas 2 Fokus pula sememangnya telah rosak.  Keadaan ini menyebabkan saya mengubah perancangan kepada pendekatan penerangan menggunakan cara tradisional iaitu menggunakan papan putih dan kad-kad manila sebagai bahan bantu mengajar (BBM)
     Saya dapati murid-murid  dalam kelas ini, dapat memerima penerangan dengan baik dan mudah memahami penerangan yang diberikan.  Murid-murid memberi respon dengan menjawab soalan-soalan secara lisan yang ringkas yang diutarakan sebagai menguji pemahaman mereka terhadap penerangan yang disampaikan.  Walaupun saya dapati ada beberapa orang murid yang kelihatan tidak memberi perhatian semasa sesi pengajaran, saya faham kerana ketika cuaca panas dan kurang selesa.  Apa yang saya dapat lakukan adalah dengan memberi teguran dan memanggil mereka supaya memberi perhatian.
     Bagi aktiviti kumpulan pula, kaedah yang saya gunakan adalah kaedah kumpulan pelbagai kecerdasan yang mana murid-murid terdiri dari murid-murid yang sederhana dan lambat bagi kelas tersebut. Pengumpulan jenis ini adalah amat sesuai bagi aktiviti pembelajaran yang memerlukan bimbingan dari murid-murid yang cerdas bagi murid-murid yang kurang cerdas.  Dengan cara ini, bakat kepimpinan murid-murid yang cerdas dapat dikembangkan serta nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama, bertimbangrasa, bertanggungjawab dan toleransi dapat dipupuk dalam kumpulan jenis ini.  Semasa aktiviti menjawab soalan matematik secara kumpulan, saya dapati ada yang suka untuk menulis dan ada yang berusaha mengira menggunakan jari untuk mencari jawapan. Setelah mereka selesai menjawab soalan yang diberi dalam kumpulan, saya paparkan hasil kerja mereka di papan tulis dan semak bersama-sama jawapan yang telah diberi mengikut kumpulan masing-masing.  Dari jawapan yang diberi, saya dapati mereka faham dan tahu untuk menjawab soalan matematik yang diberi dalam bentuk ayat kepada bentuk lazim semasa menjawab.  Walaupun saya dapati ada sedikit kelemahan dalam penyediaan ruangan bentuk lazim yang mana ada murid yang keliru dalam penyalinan semula soalan di ruangan yang sepatutnya.  Namun ini dapat disedari sendiri oleh murid  kekeliruan yang telah dilakukan dan dapat diatasi dengan membuat sedikit pembetulan walaupun kelihatan sedikit kotor pada ruangan jawapan mereka.   
     Kelemahan yang terdapat semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan adalah bahan bantu mengajar iaitu kad yang mengandungi soalan latihan dalam kumpulan kurang menarik dan kurang kandungan dari segi bilangan soalan.  Bilangan soalan untuk kerja kumpulan sepatutnya diberi lebih kerana mereka akan menyelesaikan soalan secara kumpulan tetapi saya beri hanya satu soalan kerana pengisian pengajaran yang dibuat hanya untuk tempuh tiga puluh minit.  Tulisan kurang menarik dan sepatutnya saya gunakan tulisan yang ditaip supaya kelihatan lebih cantik dan menarik.  Dari segi penggunaan ruang menjawab dalam bentuk lazim ada kekeliruan penggunaan ruang oleh murid dan mereka menyedarinya kerana tidak membuat tinjauan menyeluruh dahulu sebelum menulis dalam bentuk lazim.  Suasana kelas kedengaran sedikit bising kerana penglibatan murid yang aktif dan ada pula beberapa orang yang kelihatan sedikit bosan kerana cuaca yang panas ketika itu mempengaruhi tumpuan mereka pada pembelajaran.  Namun begitu, melalui penilaian yang dibuat semasa pembentangan hasil kerja kumpulan saya dapati murid-murid dapat mencapai objektif  yang diharapkan kerana semua soalan yang diberi dapat dijawab dengan betul. Hal ini disokong pula dengan hasil kerja latihan bertulis secara individu yang telah diberi.  Setelah saya semak hasil kerja mereka saya dapati semua orang dapat menjawab dengan betul sekurang-kurangnya tiga  dari lima soalan yang diberi. Latihan secara latih-tubi boleh diberikan kepada murid-murid ini sebagai kerja rumah bagi membantu mereka dalam mempertingkatkan kemahiran menolak.
     Oleh yang demikian, di sini saya boleh rumuskan bahawa kaedah-kaedah yang saya gunakan berjaya dilaksanakan dan murid-murid menglibatkan diri secara aktif  semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.  Saya harapkan di masa akan datang, saya akan dapat mempelbagaikan lagi kaedah-kaedah bagi menarik minat murid supaya murid-murid akan dapat memahami sesuatu topik yang disampaikan dengan lebih jelas.  Penggunaan kaedah dan teknik yang pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu lebih menarik dan akan memberi ruang untuk membolehkan pelajar terlibat secara aktif sepanjang sesi pengajaran tanpa merasa jemu dan bosan.  Terdapat beberapa kaedah dan teknik yang berkesan boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.  Oleh yang demikian,  pemilihan terhadap kaedah dan teknik  yang lebih sesuai perlulah dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menghalang dalam melaksanakan proses pembentukan konsep-konsep secara mudah dan lebih berkesan.  Aktiviti-aktiviti yang dipilih hendaklah yang menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi pelajaran dan konsep-konsep yang diterjemahkan dapat difahami dengan lebih jelas dan tepat.  Aktiviti yang dipilih harus mempengaruhi intelek, emosi, minat dan kecenderungan pelajar secara berkesan serta mampu untuk menjelaskan pengajarannya.
     Jika saya berpeluang untuk mengajar topik ini lagi kepada kumpulan pelajar yang sama, saya akan gunakan pendekatan dan kaedah yang sama. Cuma semasa penerangan saya akan gunakan kemudahan ICT supaya murid-murid akan dapat melihat dengan jelas penggunaan ruang semasa penyelesaian soalan tolak dalam bentuk lazim.  Sememangnya penggunaan computer dan multimedia penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia dapat memupuk pebagai kecekapan seperti menggalakkan potensi imaginative, kreatif, emosi, pemikiran logic dan kritikal. Penggunaan computer dan multimedia dalam pengajaran dengan memilih perisian yang sesuai dengan pembelajaran adalah penting supaya kecerdasan atau IQ para pelajar dapat dikukuhkan lagi.

       

No comments:

Post a Comment